Halaman

Rabu, 28 April 2010

KARANGAN JENIS PERBINCANGAN

Tajuk : Bincangkan tentang kebaikan dan keburukan televisyen kepada
masyarakat pada masa ini.

Televisyen memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia pada hari ini.
Boleh dikatakan hampir setiap rumah memiliki peti televisyen. Sebagai alat komunikasi
yang berpengaruh, sudah tentu televisyen juga mempunyai kebaikan dan keburukannya.

Melalui televisyen, kita juga boleh mendapat pelbagai ilmu pengetahuan. Contohnya,
menerusi rancangan-rancangan seperti rencana dan sukan. Kita juga boleh mengetahui
perkembangan dunia menerusi rancangan seperti berita.

Televisyen juga adalah sumber hiburan yang murah. Terdapat pelbagai jenis hiburan
yang disiarkan. Dengan itu, kita tidak perlu lagi keluar rumah untuk mendapatkan hiburan.
Di sini, kita bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi juga masa.

Penayangan filem yang bercorak ganas dan lucah akan memberikan kesan buruk kepada
penonton terutamanya kanak-kanak dan remaja. Mereka mudah terikut-ikut dengan adegan
yang disaksikan. Jadi, tidak hairanlah jika ada di antara mereka yang terlibat dengan kegiatan
haram atau melakukan keganasan.

Menonton televisyen hingga larut malam akan mendatangkan kesan buruk kepada
kesihatan. Ini kerana, kita tidak dapat tidur yang cukup dan menyebabkan badan menjadi
lesu. Kerja-kerja yang dibuat tidak akan mendatangkan hasil yang memuaskan. Kepada
para pelajar pula, ia sedikit sebanyak akan mengganggu pelajaran mereka.

Kesimpulannya, televisyen mempunyai kesan baik buruk kepada masyarakat. Maka,
terpulanglah kepada kita untuk memilih rancangan mana yang paling baik untuk ditonton.
Sementara itu, ibu bapa pula perlu mengawasi setiap rancangan yang ditonton oleh kanak-
kanak mereka. Anak-anak juga perlu disekat daripada menonton televisyen hingga larut malam.


Soalan pemahaman :

1. Mengapakah televisyen dikatakan memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia?

2. Nyatakan salah satu kebaikan televisyen kepada kita.

3. Sebutkan salah satu keburukan menonton televisyen.

4. Mengapakan menonton televisyen boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan?

5. Beri pendapat anda mengenai kebaikan menonton televisyen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan