Halaman

Rabu, 28 April 2010

BACAAN DAN PEMAHAMAN ( PETIKAN 1 ) Peringkat PMR

SEJARAH PERKEMBANGAN SEKOLAH MENENGAH SRI BANGKONG
Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan berikutnya.

Selamat sejahtera dan selamat datang diucapkan kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, pengetua Sekolah Menengah Sri Bangkong, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) sekolah ini, Encik Jaafar bin Ayub, para guru, Ibu bapa serta pelajar-pelajar sekalian.
Terlebih dahulu, saya sebagai ketua murid sekolah ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengetua sekolah yang memberi mandat kepada saya untuk berucap dalam Majlis Ucapan dan Penyampaian Hadiah PIBG yang ke-20. Saya juga merakamkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan yang sudi hadir ke majlis ini.
Sebelum berucap panjang, saya ingin menjelaskan serba sedikit tentang sejarah perkembangan Sekolah Menengah Sri Bangkong ini. Untuk makluman sekalian, sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1972. Ia telah dirasmikan oleh Menteri pendidikan pada ketika itu, iaitu Allahyarham Tun Abdul razak. Pada ketika itu sekolah ini hanya mempunyai tiga buah bangunan yang menempatkan pelajar-pelajar Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan Tiga sahaja. Pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima terpaksa pergi ke Sekolah Tinggi Kajang yang terletak 40 kilometer dari sini. Masalah ini dapat diatasi pada tahun 1977 apabila kerajaan telah memberi bantuan kewangan untuk membina empat buah lagi bangunan baru. Bangunan ini meliputi Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima serta dua buah makmal sains.
Dengan kemudahan bangunan baru ini, pelajar-pelajar sekolah mulai berasa selesa untuk belajar di sekolah ini. Bilangan pelajar-pelajar juga turut bertambah daripada 500 orang pada tahun 1975 kepada 1000 orang pada tahun 1980. Di samping itu, taraf pencapaian akademik pelajar-pelajar juga turut meningkat. Umpamanya pada tahun 1984, peratusan pelajar yang lulus dsalam Sijil Pelajaran Malaysia adalah sebanyak 35%. Manakala pada tahun 1985 peratusannya telah meningkat secara mendadak kepada 90%.
Memang tidak dinafikan bahawa, kejayaan dalam bidang akademik ini adalah hasil daripada didikan guru-guru yang gigih untuk memajukan pelajar-pelajar. Mereka telah mengadakan kelas-kelas tambahan bagi pelajar-pelajar yang menghadapi peperiksaan tanopa mengenakan sebarang bayaran. Ini secara tidak langsung telah membantu pelajar-pelajar miskin maju dalam pelajaran.
Pada waktu ini, peranan pengetua sekolah juga patut dihargai. Beliau telah mengambil inisiatif yang tinggi untuk menjaga kebersihan dan keindahan sekolah kami. Pada waktu yang sama beliau juga telah berjaya mendapatkan wang sebanyak RM5000 untuk pembangunan sekolah kami. Majlis Daerah Sepang juga telah memberikan pelbagai jenis pasu bunga secara percuma. Pengetua telah menggunakan satu pertiga daripada peruntukan kerajaan tadi untuk mengindahkan kawasan sekolah. Seterusnya pada tahun 1988 sebuah tamabn rekreasi telah dibina di sekolah ini. Pada tahun berikutnya sekolah ini telah berjaya menjadi johan dalam Pertandingan kebersihan antara Sekolah-Sekolah Menengah daerah Sepang.
Begitulah serba sedikit tentang sejarah perkembangan Sekolah Menengah Sri Bangkong ini. Di sini saya bagi pihak pelajar-pelajar sekolah turut berjanji akan menjaga nama baik sekolah.
Sekian, terima kasih.

Soalan Pemahaman :

1) Siapakah yang menyampaikan ucapan di atas?
2) Mengapakan Ketua murid mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengetua Sekolah Menengah Sri Bangkong?
3) Siapakah yang telah merasmikan penubuhan Sekolah Menengah Sri Bangkong?
4) Pada tahun 1972, berapa buah bangunankah yang terdapat di Sekolah Menengah Sri Bangkong?
5) Apakah maksud perkataan mendadak dalam petikan di atas?
6) Berapa peratuskah pelajar yang lulus dalam peperiksaan SPM pada tahun 1985?
7) Apakah kesan langsung hasil daripada pembinaan empat buah bangunan tambahan di Sekolah Menengah Sri Bangkong pada tahun 1977?
8) Apakah langkah yang diambil oleh guru-guru Sekolah Menengah Sri Bangkong bagi meningkatkan lagi taraf akademik pelajar-pelajar?
9) Berapakah jumlah wang yang telah diperuntukkan oleh kerajaan pusat untuk pembangunan Sekolah Menengah Sri Bangkong?
10) Apakah ganjaran yang diperolehi oleh Sekolah Menengah Sri Bangkong hasil daripada usaha gigih mereka untuk menjaga keindahan sekolah?

Binakan ayat-ayat anda sendiri berdasarkan kepada perkataan-perkataan berikut:-
generasi perkhidmatan penerbitan
sewajarnya pembangunan minda

Tiada ulasan:

Catat Ulasan