Halaman

Rabu, 28 April 2010

MERINGKAS KARANGAN ( CONTOH 01 ) Peringkat PMR

PETIKAN 1:

Dalam tempoh kira-kira 10 tahun akan datang, dianggarkan 60 peratus daripada penduduk negara ini akan tinggal di kawasan bandar. Keadaan ini akan mempengaruhi sistem ekonomi, sosiobudaya dan ragam politik di negara ini.
Proses penghijrahan merupakan perkara yang lumrah. Apabila sistem ekonomi suatu kawasan itu berkembang dengan pesat, masyarakat dari kawasan yang kurang maju akan terdorong untuk berhijrah ke kawasan tersebut bagi menjalankan ekonomi yang menguntungkan.
Pengalaman di negara ini menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi berlaku khusus di kawasan-kawasan bandar kerana di situ tertumpu peluang dan kegiatan ekonomi yang banyak. Lantaran itu, kita sering mendengar keluhan tentang kekurangan tenaga buruh di kawasan luar bandar atau desa. Banyak kawasan pertanian yang terbiar.
Keadaan tersebut mendorong pihak yang berkuasa untuk merancang beberapa banyak program pembangunan desa untuk menggalakkan penduduknya terus tinggal di kawasan kampung halaman sendiri dan membangunkan sistem pertanian yang ada. Dalam persidangan Kebangsaan Majlis Pihak Berkuasa Setempat baru-baru ini Perdana Menteri mengingatkan bahawa dengan adanya proses penghijrahan yang pesat dari desa ke bandar, kita perlu merancang strategi yang baru untuk mengatasi masalah ini.
Sekiranya keadaan ini tidak diatasi dengan segera, negara kita akan menghadapi masalah persaingan untuk merebut peluang ekonomi yang sengit di bandar-bandar.


Ringkasan :

Kira-kira 60% daripada penduduk Malaysia dijangka akan tinggal di bandar dalam tempoh kira-kira 10 tahun akan datang. Keadaan ini dipengaruhi sistem ekonomi, sosiobudaya, dan ragam politik penduduk negara ini. Lumrahnya penduduk dari kawasan yang kurang maju akan berhijrah ke kawasan yang lebih maju untuk menjalankan kegiatan ekonomi yang menguntungkan. Pertumbuhan ekonomi di negara kita tertumpu di bandar-bandar. Sebagai akibatnya kawasan luar bandar akan kekurangan tenaga buruh dan banyak kawasan pertanian yang terbiar. Hal yang demikian menyebabkan kerajaan merancang program pembangunan di luar bandar. Jika masalah ini tidak diatasi dengan segera, perebutan peluang ekonomi yang sengit akan berlaku di bandar-bandar. ( 100 patah perkataan )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan