Halaman

Rabu, 28 April 2010

KARANGAN JENIS FAKTA

TEMA : CEGAH DIABETES / KENCING MANIS

Sejak akhir-akhir ini, berbagai-bagai berita yang kita dengar mengenai penyakit-penyakit berbahaya yang menjadi ancaman utama kesihatan penduduk di negara kita, Malaysia. Di antara penyakit-penyakit ini adalah Aids, kanser, penyakit jantung dan juga diabetes. Setelah kempen “Cegah Aids”, “Sayangi Jantung Anda”, dan “ Cegah Kanser” dilancarkan, kini tiba pula giliran penyakit diabetes untuk dijadikan topek kempen yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan.

Ya, diabetes. Apakah yang dikatakan diabetes? Perkataan diabetes berasal dari bahasa Latin yang timbul pada abad ke 18. Diabetes atau nama penuhnya diabetes mellitus lebih dikenali dengan penyakit kencing manis di kalangan masyarakat negara kita. Penyakit ini berlaku apabila aras gula di dalam badan seseorang itu terlalu tinggi.

Antara punca berlakunya diabetes ialah ciri-ciri yang tidak begitu seimbang seperti mengambil makanan yang mempunyai aras gula yang terlalu tinggi dan mengandungi banyak lemak. Makanan berlemak boleh menggemukkan seseorang. Jadi mereka hendaklah sentiasa mengambil makanan yang kurang kolesterol. Selain daripada itu, pengambilan alkohol berlebihan juga boleh menyebabkan kesihatan seseorang itu terganggu dan seterusnya menghidap penyakit kencing manis. Dalam menangani masalah ini, senaman juga amat penting kepada setiap individu. Aktiviti fizikal ini boleh membakar glukos yang terdapat di dalam badan seseorang dan ia juga dapat mengurangkan keperluan insulin atau ubat-ubatan lain. Aktiviti fizikal yang tetap akan membantu menstabilkan paras glukos dalam darah. Ia juga dapat memperbaiki pengaliran darah dan membuat seseorang itu menjadi lebih sihat, aktif dan cergas. Bersenamlah selalu dengan berjalan kaki, berjogging , mengayuh basikal, berenang dan permainan yang menggunakan raket bagi menguatkan jantung dan memperbaiki keberkesanan insulin. Buatlah senaman regangan untuk memperbaiki edaran darah.


Tanda-tanda awal penyakit ini atau gejala-gejala yang berlaku kepada penghidap diabetes ialah keluarga anda menghidap penyakit diabetes, anda berusia 35 tahun dan mempunyai masalah berat badan, anda kerap kencing daripada biasa, anda sentiasa dahaga dan lapar, luka yang lambat sembuh dan juga kerap mengalami jangkitan dan kegatalan di bahagian kemaluan. Selain itu, seseorang yang cepat letih atau penat mungkin menghidap penyakit ini. Penyakit seperti hiperglisemia iaitu sejenis penyakit yang terjadi apabila paras glukos dalam darah seseorang lebih tinggi daripada paras biasa atau lebih rendah daripada paras biasa berlaku kepada penghidap diabetes. Penyakit kencing manis mengalami masalah pengeluaran insulin yang tidak mencukupi dari pankreas bagi membantu glukos dalam darah memasuki sel-sel badan yang kemudiannya ditukar menjadi tenaga. Akibatnya glukos terkumpul di dalam darah menyebabkan peningkatan paras glukos di dalam darah. sel-sel badan pesakit kencing manis tidak mendapat tenaga secukupnya daripada glukos darah.

Para pesakit diabetes mellitus ini perlulah dirawat dengan segera. Untuk mengatasi masalah diabetes ini, seseorang itu perlulah mengambil suntikan insulin, mengekalkan berat badan yang sesuai dan mengurangkan lemak dan kolesterol di dalam darah, memeriksa kaki, badan anda jika terluka, berkudis dan melecet hendaklah mendapatkan rawatan segera. Sapukan pelembab untuk menjaga kulit anda, selalulah berjumpa doktor dan makanlah ubat sebagaimana yang telah disyorkan. Kencing manis atau diabetes hendaklah dikesan dan dirawat dengan lebih awal untuk kehidupan yang sejahtera serta selalu memeriksa tahap glukos dalam darah anda. Setelah itu, simpan rekod hasil ujian kencing dan darah anda.

Ibarat kata pepatah “ Mencegah lebih baik daripada mengubati”. Oleh itu, kita hendaklah mencegah diabetes mellitus ini dari terus meningkat ke tahap maksimum. Diabetes atau kencing manis ialah penyakit seumur hidup yang tidak dapat disembuhkan tetapi boleh dikawal. Jika tidak dirawat, kencing manis akan mengakibatkan tekanan darah tinggi, penyakit buah pinggang, kerosakan saraf, cacat penglihatan, kelemayuh, kudis dan serangan sakit jantung. Untuk itu kita hendaklah mengamalkan hidup yang sihat. Sentiasa bersenam, mengekalkan berat badan yang sesuai dan memakan makanan berzat. Semoga negara kita ini akan terhindar daripada pelbagai penyakit yang menjadi ancaman utama kesihatan penduduk di Malaysia.

3 ulasan: